Dalam wawasan 2020, terdapat 9 cabaran. Analisakan setakat
mana keupayaan rakyat Malaysia menghadapi 9 cabaran tersebut.
CABARAN PERTAMA.
Membina Bangsa Malaysia yang bersatupadu diletakkan sebagai
cabaran pertama Wawasan 2020 kerana pembentukan bangsa yang bersatu dianggap
syarat utama di dalam menjayakan segala cita-cita negara yang terkandung di
dalam Wawasan 2020. Negara tidak mungkin dapat membangun di dalam apa bidang
sekalipun sekiranya rakyat tidak dapat
bersatu hati dan enggan bekerjasama. Kita juga telah menyaksikan beberapa
negara di dunia yang menderita akibat dilanda sengketa dan rusuhan kaum. Oleh
itu Malaysia menjalankan berbagai usaha untuk menjauhkan rakyat dari bencana
ini. Antaranya, Dasar Pembangunan Nasional( DPN ) telah dilancarkan oleh Dr.
Mahathir Mohamad pada 17 Jun 1991 bagi meneruskan hasrat yang terkandung di
dalam Dasar Ekonomi Baru(DEB) iaitu pembasmian kemiskinan dan penyusunan semula
masyarakat untuk memperbaiki ketidakseimbangan sosial dan ekonomi antara kaum
sebagai langkah pengukuhan perpaduan negara. Kedua, dasar Pendidikan Kebangsaan
yang bermatlamat untuk melahirkan satu masyarakat yang bersatupadu dan
berdisiplin serta memenuhi keperluan tenaga rakyat yang lebih terlatih bagi
pembangunan negara.
Walaupun pelbagai usaha telah dilakukan, masih terdapat
sentiment perkauman dalam kalangan rakyat Malaysia. Sebagai contoh, di laman-laman sosial,
sentiment perkauman jelas kelihatan apabila satu kaum membandingkan kaum mereka
dengan yang lain.
CABARAN KEDUA.
Mewujudkan masyarakat yang berjiwa bebas, tenteram dan maju
dengan keyakinan terhadap diri sendiri, bangga dengan apa yang dicapai serta
gagah menghadapi pelbagai masalah. Pada tahun 1982, Dr. Mahathir telah
memperkenalkan Dasar Pandang KeTimur sebagai satu usaha mengalihkan pandangan
rakyat dari terlalu membesarkan kemajuan negara Barat. Rakyat diminta supaya
beralih untuk melihat kebaikan yang terdapat di negara-negara Timur seperti
Jepun dan Korea. Dasar Pandang keTimur ialah usaha untuk mencari kekuatan dari
nilai-nilai ketimuran termasuk nilai-nilai positif yang kita warisi dari
peradaban kita sendiri. Jika kita terus bergantung kepada orang lain, selama
itulah kita mudah diperhambakan. Cabaran kedua ini membuktikan bahawa Wawasan
2020 bukanlah wawasan ekonomi yang tertumpu kepada pembangunan negara
perindustrian semata-mata. Ianya tetap mementingkan aspek kerohanian dan
pembinaan sikap positif serta nilai-nilai murni bagi mencapai kebahagiaan yang
sebenarnya.
Pada hari ini, focus ekonomi Malaysia telah beralih kepada
China namun Malaysia masih menganggap Amerika Syarikat
sebagai rakan terutamanya dalam perkongsian ekonomi. Rakyat pula masih
dibelenggu dengan rasa dijajah walaupun bukan dari segi fizikal tetapi dari
segi mental dan ekonomi.
Memupuk dan membina masyarakat demokratik yang matang,
mengamalkan sistem demokrasi Malaysia yang berorientasikan masyarakat dan
berasaskan muafakat dan musyawarah. Sikap terbuka Kerajaan akan diteruskan
tetapi Kerajaan juga tidak akan lupa akan tanggungjawab terutamanya mengenai
keselamatan dan kestabilan negara. Orang asing tidak berhak menentukan apa yang
baik untuk negara ini. Hanya warganegara Malaysia sahaja yang berhak dan mereka
boleh menyarankan pendirian mereka dengan cara yang tertib khususnya melalui
proses pilihanraya yang diperuntukkanoleh Perlembagaan.
Pada tahun 2010,
terdapat 4.3 juta rakyat layak mengundi tapi tidak mendaftar, kini jumlahnya
berkurang kepada tiga juta. Jumlah daftar pemilih terkini ialah 13.052 juta.
Peningkatan rakyat mendaftar sebagai pemilih, baik untuk proses demokrasi
kerana mereka terbabit menentukan kepemimpinan tertinggi negara, menentukan
perwakilan.
CABARAN KEEMPAT
Mewujudkan sebuah masyarakat yang bermoral dan beretika. Fenomena
yang berlaku di negara-negara maju pada masa ini seolah-olah menunjukkan bahawa
semakin maju keupayaan teknologi manusia, semakin lemah daya tahan moralnya.
Semakin maju sesebuah negara, semakin canggih pula cara penyelewengan dan
penipuan yang berlaku di dalam bidang perdagangan atau politik. Wawasan 2020
bertujuan mengimbangkan pembangunan material dengan pembangunan rohaniah.
Sistem keluarga adalah asas terbaik bagi pembinaan masyarakat yang bermoral dan
beretika.
Di dalam membina masyarakat bermoral dan beretika ini kita
menghadapi berbagai ancaman. Teknologi komunikasi yang canggih menyebabkan kita
menerima beberapa maklumat dari luar negeri. Teknologi dan pelaburan dari luar
negara mempunyai unsur-unsur yang negatif. Di dalam negeri pula ada beberapa
golongan yang mengeksploitasikan pembangunan ekonomi yang pesat untuk mencari
kekayaan sendiri tanpa mengambil kira kesannya kepada generasi akan datang. Di
samping itu ada juga ancaman dari dalam diri setiap individu itu sendiri sehingga
Islam menganggap melawan kecenderungan kepada keburukan itu sebagai jihad yang
besar.
CABARAN KELIMA
Mewujudkan masyarakat yang matang, liberal dan toleransi.
Masyarakat yang matang bererti masyarakat yang dapat berfikir secara rasional
dan tidak emosional. Masyarakat liberal bererti masyarakat yang telah bebaskan
diri dari fahaman yang sempit dan sentiasa bersedia menimbang buah fikiran yang
diberikan oleh orang lain, namun haruslah tidak bertentangan dengan syariat
Islam. Langkah ke arah toleransi kaum telah diambil melalui Dasar Pendidikan
Kebangsaan dan Dasar Kebudayaan Kebangsaan. Di antara strategi pelaksanaannya
ialah menjadikan Bahasa Kebangsaan sebagai bahasa pengantar yang utama,
mengadakan kurikulum yang sama dan berorientasikan Malaysia bagi semua jenis
sekolah, mempertingkatkan pendidikan kerohanian, moral dan disiplin serta
menggalakkan aktiviti kokurikulum yang memupuk disiplin seperti pasukan-pasukan
beruniform. Tetapi masih ada lagi segelintir rakyat Malaysia yang tidak matang
dalam menyatakan pendapat mereka dan sikap toleransi yang kurang antara
individu amat membimbangkan.
CABARAN KEENAM
Melahirkan masyarakat yang maju, saintifik, dan progresif.
Di dalam menuju negara maju, Dato’ Seri Dr. Mahathir sentiasa menekankan bahawa
perubahan sikap rakyat ialah faktor penentu berjaya atau tidaknya impian kita. Kemerdekaan
yang diperolehi bukan terjamin selama-lamanya. Jika kita tidak bersedia untuk
mengikuti perubahan zaman, pihak yang dahulu menjajah akan menjajah kita semua.
Hanya kali ini pendekatan penjajahan adalah berbeza. Mereka tidak lagi perlu
menempatkan tentera dan pentadbiran mereka untuk menakluk kita. Melalui ilmu
dan kepintaran serta kekayaan, mereka dapat menguasai kita.
Sesetengah rakyat Malaysia yang tidak bertanggungjawab
menggunakan kemajuan dan sains untuk kepentingan diri sendiri dan bukan untuk
kemajuan bangsa. Mereka mengekploitasi golongan yang kurang berilmu disamping
mengaut keuntungan daripadanya.
CABARAN KETUJUH
Mewujudkan masyarakat penyayang dan budaya penyayang. Y.A.B.
Dr. Mahathir mentafsirkan masyarakat penyayang dan budaya penyayang sebagai
sistem sosial yang mementingkan masyarakat lebih daripada diri sendiri dengan
kebajikan insan tidak berkisar pada negara atau orang perseorangan tetapi sistem
keluarga yang kukuh. Tujuan Wawasan 2020 ialah kemajuan material yang diimbangi
dengan pembangunan rohani serta pengekalan nilai-nilai murni kita. Malaysia
akan menjadi sebuah negara maju yang berperibadi. Tanpa jiwa penyayang kita
akan mengulangi kesalahan negara maju yang mengalami keruntuhan moral. Golongan
remaja adalah golongan terpenting di dalam konteks Wawasan 2020 kerana golongan
inilah yang akan menyaksikan Wawasan ini menjadi kenyataan.
Malangnya pada masa ini terdapat berbagai-bagai masalah
sosial yang melanda kaum remaja. Gejala-gejala sosial seperti penagihan dadah,
melepak, ponteng sekolah dan berbagai jenayah juvana adalah amat membimbangkan.
Masalah ini perlu diatasi kerana ia boleh menggagalkan cita-cita Wawasan
2020.Gejala-gejala ini tidak akan berleluasa jika telah wujud budaya penyayang
di dalam masyarakat kita.
CABARAN KELAPAN
Menjamin sebuah masyarakat yang adil dan saksama ekonominya.
Keadaan ekonomi yang baik akan dapat membangunkan kesejahteraan dan kebajikan
yang lain. Sejak merdeka negara kita telah menjalankan berbagai program dan
rancangan untuk meninggikan taraf ekonomi rakyat. Berbagai projek telah
dilaksanakan seperti Rancangan Pembangunan Luar Bandar, berbagai rancangan
penerokaan tanah hinggalah ke Dasar Ekonomi Baru dan Dasar Pembangunan
Nasional. Program-program pembangunan ekonomi dijalankan dengan tujuan untuk
membasmi kemiskinan dan menyatupadukan rakyat berbilang kaum. Ketidakadilan
dalam ekonomi pada masa kini telah membebankan rakyat malah mulai membunuh
mereka secara perlahan.
CABARAN KESEMBILAN
Cabaran kesembilan Wawasan 2020 ialah mewujudkan masyarakat
makmur. Masyarakat makmur bererti rakyat menikmati hidup yang serba serbi
mencukupi dan mampu menikmati taraf hidup yang baik. Sejak Rancangan Malaysia
Pertama hinggalah sekarang, tumpuan diberikan kepada rancangan membasmi
kemiskinan. Dr. Mahathir mempunyai pandangan yang positif. Di dalam perutusan
khas menyambut tahun baru 1992, beliau berkata, “Dalam masa 34 tahun kita telah
berjaya meningkatkan pendapatan per kapita yang dianggap sebagai ukuran
pembangunan, sebanyak hampir sembilan kali ganda. Untuk Wawasan 2020 kita perlu
tingkatkan pendapatan per kapita sebanyak lapan kali ganda dalam 30 tahun.
Dengan rekod ini matlamat bukan mustahil.”
Namun realitinya sekarang,
sehingga bulan Januari 2016 dicacatkan kadar pengangguran di Malaysia
sudah pun mencecah 3.3 peratus. Naik 0.1 peratus daripada bulan sebelumnya.
Seramai 200,000 siswazah menganggur di Malaysia.Pada tahun 2015, telah mencatatkan sejumlah 26,000
telah diberhentikan kerja. Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) menjangkakan pada tahun 2016, lebih ramai
lagi pekerja akan dibuang dan diberhentikan majikan masing-masing.