Saturday, 19 November 2016

CABARAN DALAM WAWASAN 2020



Dalam wawasan 2020, terdapat 9 cabaran. Analisakan setakat mana keupayaan rakyat Malaysia menghadapi 9 cabaran tersebut.

CABARAN PERTAMA.
Membina Bangsa Malaysia yang bersatupadu diletakkan sebagai cabaran pertama Wawasan 2020 kerana pembentukan bangsa yang bersatu dianggap syarat utama di dalam menjayakan segala cita-cita negara yang terkandung di dalam Wawasan 2020. Negara tidak mungkin dapat membangun di dalam apa bidang sekalipun  sekiranya rakyat tidak dapat bersatu hati dan enggan bekerjasama. Kita juga telah menyaksikan beberapa negara di dunia yang menderita akibat dilanda sengketa dan rusuhan kaum. Oleh itu Malaysia menjalankan berbagai usaha untuk menjauhkan rakyat dari bencana ini. Antaranya, Dasar Pembangunan Nasional( DPN ) telah dilancarkan oleh Dr. Mahathir Mohamad pada 17 Jun 1991 bagi meneruskan hasrat yang terkandung di dalam Dasar Ekonomi Baru(DEB) iaitu pembasmian kemiskinan dan penyusunan semula masyarakat untuk memperbaiki ketidakseimbangan sosial dan ekonomi antara kaum sebagai langkah pengukuhan perpaduan negara. Kedua, dasar Pendidikan Kebangsaan yang bermatlamat untuk melahirkan satu masyarakat yang bersatupadu dan berdisiplin serta memenuhi keperluan tenaga rakyat yang lebih terlatih bagi pembangunan negara.
Walaupun pelbagai usaha telah dilakukan, masih terdapat sentiment perkauman dalam kalangan rakyat Malaysia.  Sebagai contoh, di laman-laman sosial, sentiment perkauman jelas kelihatan apabila satu kaum membandingkan kaum mereka dengan yang lain. 

CABARAN KEDUA.
Mewujudkan masyarakat yang berjiwa bebas, tenteram dan maju dengan keyakinan terhadap diri sendiri, bangga dengan apa yang dicapai serta gagah menghadapi pelbagai masalah. Pada tahun 1982, Dr. Mahathir telah memperkenalkan Dasar Pandang KeTimur sebagai satu usaha mengalihkan pandangan rakyat dari terlalu membesarkan kemajuan negara Barat. Rakyat diminta supaya beralih untuk melihat kebaikan yang terdapat di negara-negara Timur seperti Jepun dan Korea. Dasar Pandang keTimur ialah usaha untuk mencari kekuatan dari nilai-nilai ketimuran termasuk nilai-nilai positif yang kita warisi dari peradaban kita sendiri. Jika kita terus bergantung kepada orang lain, selama itulah kita mudah diperhambakan. Cabaran kedua ini membuktikan bahawa Wawasan 2020 bukanlah wawasan ekonomi yang tertumpu kepada pembangunan negara perindustrian semata-mata. Ianya tetap mementingkan aspek kerohanian dan pembinaan sikap positif serta nilai-nilai murni bagi mencapai kebahagiaan yang sebenarnya.
Pada hari ini, focus ekonomi Malaysia telah beralih kepada China  namun  Malaysia masih menganggap Amerika Syarikat sebagai rakan terutamanya dalam perkongsian ekonomi. Rakyat pula masih dibelenggu dengan rasa dijajah walaupun bukan dari segi fizikal tetapi dari segi mental dan ekonomi.


CABARAN  KETIGA.
Memupuk dan membina masyarakat demokratik yang matang, mengamalkan sistem demokrasi Malaysia yang berorientasikan masyarakat dan berasaskan muafakat dan musyawarah. Sikap terbuka Kerajaan akan diteruskan tetapi Kerajaan juga tidak akan lupa akan tanggungjawab terutamanya mengenai keselamatan dan kestabilan negara. Orang asing tidak berhak menentukan apa yang baik untuk negara ini. Hanya warganegara Malaysia sahaja yang berhak dan mereka boleh menyarankan pendirian mereka dengan cara yang tertib khususnya melalui proses pilihanraya yang diperuntukkanoleh Perlembagaan.
Pada tahun  2010, terdapat 4.3 juta rakyat layak mengundi tapi tidak mendaftar, kini jumlahnya berkurang kepada tiga juta. Jumlah daftar pemilih terkini ialah 13.052 juta. Peningkatan rakyat mendaftar sebagai pemilih, baik untuk proses demokrasi kerana mereka terbabit menentukan kepemimpinan tertinggi negara, menentukan perwakilan.

CABARAN KEEMPAT
Mewujudkan sebuah masyarakat yang bermoral dan beretika. Fenomena yang berlaku di negara-negara maju pada masa ini seolah-olah menunjukkan bahawa semakin maju keupayaan teknologi manusia, semakin lemah daya tahan moralnya. Semakin maju sesebuah negara, semakin canggih pula cara penyelewengan dan penipuan yang berlaku di dalam bidang perdagangan atau politik. Wawasan 2020 bertujuan mengimbangkan pembangunan material dengan pembangunan rohaniah. Sistem keluarga adalah asas terbaik bagi pembinaan masyarakat yang bermoral dan beretika.
Di dalam membina masyarakat bermoral dan beretika ini kita menghadapi berbagai ancaman. Teknologi komunikasi yang canggih menyebabkan kita menerima beberapa maklumat dari luar negeri. Teknologi dan pelaburan dari luar negara mempunyai unsur-unsur yang negatif. Di dalam negeri pula ada beberapa golongan yang mengeksploitasikan pembangunan ekonomi yang pesat untuk mencari kekayaan sendiri tanpa mengambil kira kesannya kepada generasi akan datang. Di samping itu ada juga ancaman dari dalam diri setiap individu itu sendiri sehingga Islam menganggap melawan kecenderungan kepada keburukan itu sebagai jihad yang besar.

CABARAN KELIMA
Mewujudkan masyarakat yang matang, liberal dan toleransi. Masyarakat yang matang bererti masyarakat yang dapat berfikir secara rasional dan tidak emosional. Masyarakat liberal bererti masyarakat yang telah bebaskan diri dari fahaman yang sempit dan sentiasa bersedia menimbang buah fikiran yang diberikan oleh orang lain, namun haruslah tidak bertentangan dengan syariat Islam. Langkah ke arah toleransi kaum telah diambil melalui Dasar Pendidikan Kebangsaan dan Dasar Kebudayaan Kebangsaan. Di antara strategi pelaksanaannya ialah menjadikan Bahasa Kebangsaan sebagai bahasa pengantar yang utama, mengadakan kurikulum yang sama dan berorientasikan Malaysia bagi semua jenis sekolah, mempertingkatkan pendidikan kerohanian, moral dan disiplin serta menggalakkan aktiviti kokurikulum yang memupuk disiplin seperti pasukan-pasukan beruniform. Tetapi masih ada lagi segelintir rakyat Malaysia yang tidak matang dalam menyatakan pendapat mereka dan sikap toleransi yang kurang antara individu amat membimbangkan.


CABARAN KEENAM
Melahirkan masyarakat yang maju, saintifik, dan progresif. Di dalam menuju negara maju, Dato’ Seri Dr. Mahathir sentiasa menekankan bahawa perubahan sikap rakyat ialah faktor penentu berjaya atau tidaknya impian kita. Kemerdekaan yang diperolehi bukan terjamin selama-lamanya. Jika kita tidak bersedia untuk mengikuti perubahan zaman, pihak yang dahulu menjajah akan menjajah kita semua. Hanya kali ini pendekatan penjajahan adalah berbeza. Mereka tidak lagi perlu menempatkan tentera dan pentadbiran mereka untuk menakluk kita. Melalui ilmu dan kepintaran serta kekayaan, mereka dapat menguasai kita.
Sesetengah rakyat Malaysia yang tidak bertanggungjawab menggunakan kemajuan dan sains untuk kepentingan diri sendiri dan bukan untuk kemajuan bangsa. Mereka mengekploitasi golongan yang kurang berilmu disamping mengaut keuntungan daripadanya.

CABARAN KETUJUH
Mewujudkan masyarakat penyayang dan budaya penyayang. Y.A.B. Dr. Mahathir mentafsirkan masyarakat penyayang dan budaya penyayang sebagai sistem sosial yang mementingkan masyarakat lebih daripada diri sendiri dengan kebajikan insan tidak berkisar pada negara atau orang perseorangan tetapi sistem keluarga yang kukuh. Tujuan Wawasan 2020 ialah kemajuan material yang diimbangi dengan pembangunan rohani serta pengekalan nilai-nilai murni kita. Malaysia akan menjadi sebuah negara maju yang berperibadi. Tanpa jiwa penyayang kita akan mengulangi kesalahan negara maju yang mengalami keruntuhan moral. Golongan remaja adalah golongan terpenting di dalam konteks Wawasan 2020 kerana golongan inilah yang akan menyaksikan Wawasan ini menjadi kenyataan.
Malangnya pada masa ini terdapat berbagai-bagai masalah sosial yang melanda kaum remaja. Gejala-gejala sosial seperti penagihan dadah, melepak, ponteng sekolah dan berbagai jenayah juvana adalah amat membimbangkan. Masalah ini perlu diatasi kerana ia boleh menggagalkan cita-cita Wawasan 2020.Gejala-gejala ini tidak akan berleluasa jika telah wujud budaya penyayang di dalam masyarakat kita.

CABARAN KELAPAN
Menjamin sebuah masyarakat yang adil dan saksama ekonominya. Keadaan ekonomi yang baik akan dapat membangunkan kesejahteraan dan kebajikan yang lain. Sejak merdeka negara kita telah menjalankan berbagai program dan rancangan untuk meninggikan taraf ekonomi rakyat. Berbagai projek telah dilaksanakan seperti Rancangan Pembangunan Luar Bandar, berbagai rancangan penerokaan tanah hinggalah ke Dasar Ekonomi Baru dan Dasar Pembangunan Nasional. Program-program pembangunan ekonomi dijalankan dengan tujuan untuk membasmi kemiskinan dan menyatupadukan rakyat berbilang kaum. Ketidakadilan dalam ekonomi pada masa kini telah membebankan rakyat malah mulai membunuh mereka secara perlahan.

 CABARAN KESEMBILAN
Cabaran kesembilan Wawasan 2020 ialah mewujudkan masyarakat makmur. Masyarakat makmur bererti rakyat menikmati hidup yang serba serbi mencukupi dan mampu menikmati taraf hidup yang baik. Sejak Rancangan Malaysia Pertama hinggalah sekarang, tumpuan diberikan kepada rancangan membasmi kemiskinan. Dr. Mahathir mempunyai pandangan yang positif. Di dalam perutusan khas menyambut tahun baru 1992, beliau berkata, “Dalam masa 34 tahun kita telah berjaya meningkatkan pendapatan per kapita yang dianggap sebagai ukuran pembangunan, sebanyak hampir sembilan kali ganda. Untuk Wawasan 2020 kita perlu tingkatkan pendapatan per kapita sebanyak lapan kali ganda dalam 30 tahun. Dengan rekod ini matlamat bukan mustahil.”

Namun realitinya sekarang,  sehingga bulan Januari 2016 dicacatkan kadar pengangguran di Malaysia sudah pun mencecah 3.3 peratus. Naik 0.1 peratus daripada bulan sebelumnya. Seramai 200,000 siswazah menganggur di Malaysia.Pada  tahun 2015, telah mencatatkan sejumlah 26,000 telah diberhentikan kerja. Persekutuan Majikan Malaysia (MEF)  menjangkakan pada tahun 2016, lebih ramai lagi pekerja akan dibuang dan diberhentikan majikan masing-masing.

No comments:

Post a Comment