Soalan 3 : adakah zakat bertujuan untuk membasmi kemiskinan
sekarang?
Allah S.W.T telah mewajibkan zakat sebagai salah satu
jaminan sosial kepada masyarakat terutama kepada golongan yang amat memerlukan,
meningkatkan pertumbuhan ekonomi yang seimbang melalui agihan semula kekayaan
dalam masyarakat dan sebagai satu bentuk penyucian dan pembangunan rohani
setiap Muslim. Zakat juga bertindak sebagai satu mekanisma yang penting kepada
sesebuah negara Islam bagi menjamin kemaslahatan rakyat seluruhnya. Zakat juga
mempunyai keupayaan dan kekuatan bagi membasmi
kemiskinan dan menjamin keseimbangan jurang antara golongan kaya dan miskin
melalui mekanisma agihan semula kekayaan dalam masyarakat.
Aspek pengagihan
zakat kepada kumpulan sasaran juga adalah penting selepas mempunyai sistem
kutipan zakat yang baik. Kumpulan sasaran utama yang sepatutnya mendapat
perhatian awal ialah golongan fakir miskin. Namun sehingga ini, kumpulan fakir
miskin masih lagi ramai dan jumlahnya didapati meningkat kebelakangan ini kesan
kegawatan ekonomi. Dimensi baru yang
mungkin belum mendapat perhatian institusi zakat ialah mengenai keberkesanan
agihan terhadap kualiti hidup fakir miskin. Ini adalah disebabkan konsep
kemiskinan bukan sahaja berbentuk multidimensi malah ianya begitu subjektif
melibatkan perasaan fakir miskin terhadap sifat berkecukupan.
Zakat merupakan suatu pendapatan yang tetap dan menjadi
kewajipan untuk sentiasa dilaksanakan oleh sesebuah negara Islam dan ianya
tidak akan terhenti. Oleh itu, negara Islam dapat menggunakan sumber zakat bagi membina kekuatan ekonomi, sosial,
pendidikan dan akhirnya dapat membina kekuatan Umat Islam secara tidak
langsung membina kesatuan ummah yang jitu. Masalah
membasmi kemiskinan merupakan tujuan utama sistem zakat dalam Islam melalui
penyediaan saraan hidup dan modal yang mencukupi bagi golongan yang berhajat. Saraan hidup daripada zakat ini
diperuntukkan kepada golongan yang tidak mampu bekerja dengan sebab-sebab cacat
anggota atau sebagainya.
Modal pula
diperuntukkan kepada golongan yang mampu bekerja tetapi tidak mempunyai modal
untuk menjalankan pekerjaan. Kedua-dua peruntukkan ini diberi dengan kadar
yang mencukupi sesuai dengan keadaan ekonomi, masa, tempat dan keperluan fakir
miskin itu. Saraan hidup ini hendaklah mencukupi untuk makan, minum , pakaian,
tempat tinggal, pelajaran dan kesihatan. Manakala modal pula hendaklah
mencukupi kadar modal sesuatu projek yang hendak dijalankan. Pemberian saraan
hidup dan modal serta tujuan-tujuan lain adalah dengan kadar mencukupi. Kadar mencukupi untuk saraan hidup yang
diambil kira daripada lima keperluan asas hendaklah diberi selama mana dihajati
dan difikirkan perlu oleh golongan tersebut walaupun untuk sepanjang hidupnya
atau dengan cara bulanan dan sebagainya. Selain dari alat membasmi kemiskinan,
zakat juga merupakan alat untuk
memerangi masalah riba yang dilaknat oleh Allah ke atas pihak-pihak yang
terlibat dalam proses perlaksanaan riba. Dengan penyediaan modal bererti
tertutuplah pintu sistem pinjaman yang dikenakan riba. Modal daripada zakat boleh diberikan kepada fakir miskin yang berhajat
untuk membuka sesuatu pekerjaan yang termampu olehnya, sama ada sebagai
pemberian tunai atau sebagai pinjaman tanpa faedah.
Persoalannya sejauh manakah bantuan zakat dapat meningkatkan
kualiti kehidupan golongan miskin memandangkan nilai bantuan zakat yang diberi
amatlah kecil. Adalah wajar sekiranya
nilai bantuan zakat ditingkatkan mengikut kualiti hidup dan ekonomi semasa.
Dalam tempoh 1990 hingga 2000, kualiti hidup di Malaysia telah meningkat iaitu
sebanyak 8.4 peratus. (Unit Perancang Ekonomi 2002). Namun begitu adakah
kualiti penduduk miskin juga telah meningkat. Ini kerana kualiti tersebut
dihitung secara agregat yang majoritinya adalah golongan pertengahan dan kaya.
Apakah dasar fiskal melalui zakat dapat meningkatkan kualiti hidup penduduk
miskin ini?
Pertamanya bantuan zakat tidak meningkatkan kepuasan
golongan miskin yang menerima zakat tersebut. Bantuan zakat yang diterima
adalah dalam bentuk tunai dan dianggap
sebagai bayaran pindahan sahaja (tidak produktif).
Bantuan zakat boleh juga diberikan dalam bentuk bukan tunai yang bersifat produktif seperti
biasiswa pendidikan anak-anak, simpanan dalam amanah saham dan modal
perniagaan. Pihak Majlis Agama Islam juga boleh menyumbangkan zakat dalam bentuk alat perkakas serta barangan dapur
dan sebagainya. Bantuan zakat oleh golongan miskin terhadap pendidikan adalah
sebagai pelengkap sahaja walaupun nilai bantuan yang kecil kerana pihak
kerajaan telah pun menyediakan bantuan pendidikan termasuklah bantuan yuran,
biasiswa dan makanan di sekolah kepada anak-anak golongan miskin.
Bantuan zakat memberi impak yang signifikan kepada kualiti
hidup golongan miskin. Suatu tindakan yang drastik perlu dilakukan untuk
memastikan kualiti hidup mereka adalah terjamin sekurang-kurangnya mendapat
barang keperluan dan kecukupan. Nilai
bantuan zakat perlu dinilai semula kerana nilai bantuan yang diberi amatlah
kecil berbanding dengan keperluan kehidupan semasa. Pihak Majlis Agama Islam
Negeri perlu memikirkan nilai bantuan serta kaedah agihan zakat yang sesuai agar kualiti hidup mereka dapat
ditingkatkan ke tahap yang sekurang-kurangnya memuaskan hati mereka. Tindakan
ini adalah wajar untuk memastikan sekurang-kurangnya kualiti hidup mereka
adalah baik setanding dengan masyarakat lain di Malaysia walaupun pendapatan
mereka masih lagi dibawah paras kemiskinan.
No comments:
Post a Comment