Friday, 21 October 2016

TANGGAPAN ISLAM TERHADAP BUDAYA DAN MASYARAKAT MAJMUK

SOALAN : Berdasarkan surah Ar-Rum ayat 22, huraikan bagaimana tanggapan Islam terhadap budaya dan masyarakat majmuk.

JAWAPAN:

Surah Al-Rum ayat 22 yang bermaksud :
“ Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan-Nya dan kebijaksanaan-Nya ialah kejadian langit dan bumi dan perbezaan bahasa kamu dan warna kulit kamu. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan bagi orang yang berpengetahuan.
Surah ini menerangkan tentang kaitan penciptaan langit dan bumi dan perbezaan bahasa dan warna kulit dalam kalangan umat manusia.

Allah menunjukkan kekuasaan-Nya dengan menciptakan langit dan bumi yang luas. Penciptaan langit dan bumi bermakna penciptaan makhluk agung yang amat besar, amat halus dan rapi kejadiannya yang belum lagi kita ketahui kecuali hanya sebahagian kecil. Sebagai contoh bulan, bintang, planet-planet, gunung-ganang, haiwan dan lautan.

Di samping bukti kekuasaan Allah dalam kejadian langit dan bumi ini ialah kepelbagaian bahasa dan warna kulit di kalangan umat manusia. Kepelbagaian bahasa dan warna kulit itu mempunyai hubungan dengan penciptaan langit dan bumi. Perbezaan udara dan cuaca di permukaan bumi, alam sekitar yang terjadi akibat dari perbezaan kedudukan bumi mempunyai hubungan dengan perbezaan bahasa dan warna kulit walaupun asal usul kejadian umat manusia itu sama sejak Allah menciptakan nabi Adam.
Setiap manusia mempunyai sepasang mata, hidung, mulut, pipi dan masing-masing tidak serupa antara satu sama lain. Uniknya, setiap manusia pasti mempunyai sesuatu ciri yang membezakan dengan yang lain. Sebagai contoh, perbezaan rupa, cap jari, bentuk dan bahasa seperti bahasa Arab, Melayu, Mandarin, Tamil dan sebagainya.

Jelaslah Allah menciptakan manusia itu berbeza rupa, bahasa dan warna kulit adalah untuk membuktikan kekuasaan-Nya, dan bukanlah untuk berpecah belah dan berbangga- bangga dengan kelebihan masing-masing.

Kesimpulannya, penciptaan budaya, rupa dan bahasa yang berbeza bukan bermaksud Allah tidak mampu menciptakan umat yang satu. Tetapi Allah ingin menguji keimanan seseorang bagi membuktikan penyaksian mereka kepada Allah semasa di alam roh dan mengajar manusia untuk menghormati dan menghargai kelebihan dan kekurangan antara manusia dan merebut-rebut dalam hal kebaikan. Harus diingati bahawa Allah tidak memandang kepada rupa, harta, pangkat melainkan ketakwaan hamba-Nya.

No comments:

Post a Comment